Seorang Anak Lelaki Tewas Mengenaskan Digilis Lori
MENTAKAB – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mati dalam keadaan menyayat hati apabila digilis sebuah lori dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mainan di sebuah kedai runcit dekat Taman Tualang Indah, di sini, malam kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, pada masa sama sebuah lori tiga tan dengan muatan pelbagai barangan kedai runcit dari arah stesen minyak Petronas Taman Tualang Indah dipandu Rohizat Remeli, 37, berhenti, di kedai runcit berhampiran untuk membeli rokok.
Menurutnya, pemandu lori terbabit kemudian meneruskan perjalanan sebaik selesai membeli rokok, namun dikejutkan dengan bunyi seretan pada bahagian hadapan lori dipandunya.
“Pemandu lori terus memberhentikan kenderaannya lalu melihat sebuah basikal terperosok di bawah lori dan mayat seorang kanak-kanak di bahagian belakang lori dalam keadaan tertiarap,” katanya.
Zundin berkata, mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat pecah kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa keluar dari kedai selepas membeli mainan terus menunggang basikal untuk pulang ke rumah dan pada masa sama tanpa disedari, ada sebuah lori yang baru memulakan perjalanan dari arah sama.
“Pemandu lori mendakwa tidak nampak mangsa di hadapan kenderaannya kerana saiz basikal yang kecil terlindung dengan saiz lori yang besar dan tinggi.
“Akibatnya, mangsa digilis di bawah lori tersebut lalu mendapat kecederaan teruk di kepala serta mati di tempat kejadian,” katanya.
Zundin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori terbabit ditahan sementara waktu untuk membantu siasatan. – Sinar Harian Online
sumber : http://mynewshub.my
Posting Komentar untuk "Seorang Anak Lelaki Tewas Mengenaskan Digilis Lori"